Tuesday, 29 November 2011

Seharian ini..di hadapan laptop terus..kebosanan makin mencarik-carik!

Monday, 28 November 2011

Alahai..comelnya putraku yang ke empat ni..LUV U!
Sekali lagi dalam bosan yang terhingga...hingga ke saat ini mindaku semakin dangkal, jalan fikir semakin buntu..huh! Cuti..Apabila tiada apa yang mahu diperbuat pastinya kebosanan melanda ke kujur tubuh, jantung dan otak!
Ntah , kali ini ke manakah pula destinasi percutian terindah! Sepanjang tahun ini saja sebenarnya sudah puas aku ke sana ke mari..tetapi apabila pghujung tahun tiba, inilah masalahnya....

Monday, 6 June 2011

Terima kasih Cikgu !!

Kita pendidik mestikah meracau
pada yang namanya sebuah kepayahan
   - jalan-jalan yang tak berturap
   - rangkaian listrik yang tidak berpacak
   - sungai,onak dan lumpur menghampar ke papan tulis
Kalut, jaringan Internet yang tidak berjalur lebar?


Kita pendidik mestikah meraung
pada nama yang kononnya 'Modenisasi'
   - anak-anak didik bergayutan di kaki nafsu
     adab diinjak tak bertuan
     tularan bohsia,anak ikan,hippies,kaki rempit
     black metal ke penjara dadah,aids dan maut
     yang kian hebat melatari dunia didikan?


Kita pendidik bisakah bertitah
Mendabik dada mewadaat jasa
Merasa punca pada yang 'Kemilau'
   ...yang Megah di kerusi parlimen
      yang Bermandi peluh di bilik bedah
      Bersabung nyawa di sempadan negara
      Melantang laung di legar hukum
      yang gemerlap di medan seni
      atau sekadar mengetik di ruang hawa dingin
      sekalipun yang cuma pewaris gelaran kita ?


Kita pendidik keluhan adalah klise
Sepadang persoalan direntang
Sehampar harapan dibentang !


Tidak mudah menjadi kita
Kerana imbalan bukanlah rasuah
untuk bertahan di arena ini
seringnya dicanang 
   ....yang 'Kemilau' bukan kita penggilapnya
   ...yang 'Malap' kitalah penguburnya 
Inilah Gadai Maruah seorang yang bernama kita !


Kita pendidik 
biasa tersandung dan telungkup
bisa tersasul dan melatah
pernah di pasak dan di pasung
Seharusnya kecundang bukan kehancuran
Sememangnya kita masih dimandatkan !


Siapapun kita pendidik 
masih tiada jeranya ' mengasah belakang parang'
Sekalipun yang meleper,membulat atau berkarat !


Terima kasih Cikgu !!


Merah Kasih
01062011.
16.20

Saturday, 7 May 2011

APA DAYAKU...

Kujejak langkahmu
Kau berpaling tanpa rasa
Kulaung namamu
Kau menoleh tidak ke arahku
Kuhalang langkahmu
Sinis dan Luka kau pandang aku

Melilau rasa aku
Tidak memahami diperlaku sebegitu...

Pancaran measat mewarta padaku
Mengertilah sudah
“Kesalahfahaman tidak bermata”

Menggenggam erat tanganmu
Tidak mampu ku mengungkap
SAKIT ! Kau hukumku tanpa periksa

Tiada niat untuk ‘membenarkan diri’
Tiada upaya untuk menguraikan

Asal kau mengerti
Segalanya bukan puncaku
Hanya pena lidah tumpul ini disalah tafsir
Oleh warta yang terus menerkam !




Apa dayaku
Jika ini perenggan akhir mahumu
          Ribuan jariku susun
          Menjulang mandatmu
          Tak berdaya aku menanggung lagi
          Amukmu yang tak berkepala

Sakitku terlebih parah
Dihukum pancung kepala dan hati
Oleh dua butir intan di hujung pedang !

Pasrah aku
Jika ingin kau kerat empat lagi tubuhku ..


 Merah Kasih
April 2008






PESONA TERPENDAM

Tujuh petala langit
namamu ku angkat
tujuh pasak bumi
namamu ku benam
terangkat terbenam namamu
Di relung jantung dan gelap hati
tanpa tahu harus
Ku simpang ke arah mana
Obsesimu hancur di akalku !


Kitaran alam menjelajah aku
Zuhal pernahku takluk
Pluto pernah ku singgah
terpesona aku seketika di Zuhrah
namun Marikhmu mencabar aku
Walau panas menyengat
ingin aku bermastautin
karar di sana.


Khabar-khabarnya
Marikhmu menyediakan
Kesejukan air sungai untuk segarku
Kehijauan alam untuk meneduhkan panasku
Sekaligus lautan lazuardi
untuk sama mengembara
merentasi masa !


Tersepele aku
bila tidak sedikitpun tak pernah
kau undang sendiri aku
Di mana keperkasaanmu ?
Kenapa mesti pancaran measat yang
mewartakannya pada aku ?


Di relung jantung dan gelap hati
Mendangkal mindaku
Haruskah aku datang
Menyerah keperawananku ?


Merah Kasih dan Rembulan Jingga
24.07.96/23:05

Saturday, 30 April 2011

DIAMmu...

Sekali lagi kita gah dalam diam
Lebih tega dalam sengketa berulang
hingga malam berlarut dini membakar dian
hutan rasapun terbakar berkobar ranap !


Dalam diam berulang yang makin menapak
Masih tak ada yang mahu mengungkap
Getar yang makin berangkap
sengaja api dibiar merebak !


Masih begini dalam diam yang makin kental
ada sakit dalam diammu
ada sesal dalam diamku


diammu ku benci
diamku kau benci
Perlukah di cari siapa yang dalang ?


Terbakar dalam diam dicari
tega kita....


Merah Kasih
26.05.98/11:15 



Atas Segala Bernama Hidup

Langsai sudah opera kesejagatan dunia
tak lagi melagui damba manusiawi
salling mendelik senapang ke telinga semut
kesumat pada julangan kasta
berkucuran kuartza dibidik hati hitam !

Tiada berladung lagi nilai nurani
apatah untuk bersemarak di Mahameru
atau bertadah di Tasik Tangkuban
Kucilnya aku,
maha mampu dipaku kejutan
melihat manusiawi yang kian ditelanjangi duniawi
     senang menguahi nubari dengan hancing kuning
     berlaukan nafsu
     bersirapkan darah !

Merah kuning membinar
meresap ke seluruh jaringan alam !

Makrifatku hanya mampu memusat
apakah Maheswara mula ingin memberontak ?
Israfil tidak sabar melaung Sangkakala ?
atau Almakbud ingin memaktubkan
segalanya akan menggelepar ?
terlaknatlah bumi begitu !

Menggigil para wali....
Kalamnya ;
       Maha Almakbud ,
       Apa karma pada bumi segenggam ini
       Berilah zaminmu kekuatan
       Untuk membendung api yang
       semakin marak !

......Zamin digembur
......api merebak.....


Merah Kasih
24-25.07.96/14:51

Konfrontasi by Usman Awang

Api dari matamu
Hutan rasaku terbakar tujuh tanjung
Burung tak bernyanyi sungai terhenti mengalir
Sengketa berlangsung di hujung bulan purnama

Tapi tak menghangurkan api dan jantung
yang terbina dari zat-zat aneh teragung
Maha perkasa menggoncang alam laksana taufan
maha indah memancar dari menara kasih sayang

Sengketa tidak wujud antara dua manusia
Jika antara kita tak ada pihak ketiga
yang bisiknya membara memanggang rasa
untuk kita saling menghancurkan
semua yang telah terbina

Hanya zat-zat aneh teraguung
berdiri di antara kekuatan seribu gunung
menatang kasih yang kita pahatkan
denyutnya mengalir ke sungai hati
ke tasik senyum.


Merah kasih :......satu-satunya aura sasterawan negara
yang menjadi sumber inspirasi segala bahasa dan cerita!
Sungguh 'MERAH' sajak ini..! Terima kasih...

MERAH SEGARA

Datangmu kala itu penuh nafsu mengajak
berlegar di ruang penuh sesak
mendayungku untuk turun menari lasak
tarian asmaramu pesonaku terpacak.

Pacak-pacak teguh berdiri megah
Pasrahlah aku dalam keempukan merah..

Benar-benar aku tak ingin sedar !!

Paluan kasihmu menggetar tidak kepalang
Membangkit berahi yang tak mahu padam
Namun seteganya kau menguras sabar
Merogol hatiku yang perawan !

Jera aku mengilai derap tari anehmu lagi
Biarlah tak perawan kasih
Buatmu segalanya telah kuserah mati !!

merah kasih
14.11.1996/16:40

Monday, 25 April 2011

MERAH

Kenapa MERAH?
Kerana MERAH punya cerita
kerana MERAH punya segala derita
kerana MERAH punya segala kuasa 


Tidak perlu dipersoalkan
Kasihnya ibu tumpah darah MERAH kala melahirkan
Mungilnya si bayi yang masih MERAH
Lambang cinta..si bunga ros MERAH
Cinta sedalam hangat penuh MERAH kasih
Derhaka si Jebat, taat si Tuah
Penyebab gelumuran MERAH darah
Hati Penuh dendam..MERAH membakar
Semarak Merdeka ?
Pastinya 'MERAHmu bara semangat waja'
Neraka jahanam..menjulang api MERAH membaham tubuh
Lambaian syurga..penuh MERAH bunga-bunga bahagia
Laut MERAH ? bibir MERAH delima?
Luka Berdarah ? Datang bulan ?
Keguguran ? Gagal peperiksaan ?
Semangat Patriotik ? Malu ? Marah ?
'Lady in RED'? 'MERAH saga'?
'Namamu MERAH'? 'Bawang Putih bawang MERAH'?
....syysh!! Teman Setan ?


Alahai MERAH
sebara apakah hati segenap insan
sehingga  yang semarak rasa dan kalbu
disinonimkan dengan MERAH?
Banyaknya ceritamu MERAH!!
Sehebat apakah engkau...